sangat mengambil berat mengenai berbuat baik kepada isteri. Rasulullah s.a.w. dalam wasiat terakhirnya dalam Haji Perpisahan turut menyentuh kepentingan berbuat baik kepada wanita dan isteri. Imam An-Nawawi sendiri turut meletakkan satu bab dalam kitabnya Riyadhus-Solihin yang mengumpulkan koleksi hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang menyeru kepada berbuat baik kepada kaum wanita.
Isteri atau wanita dijadikan Allah dengan
fizikal dan emosi yang lemah. Fizikal dan emosi yang lemah tidak bermakna akal
mereka turut lemah. Kemampuan akal fikiran mereka kadangkala jauh lebih baik
daripada lelaki tetapi dari sudut emosi dan perasaan, mereka mudah terguris dan
terluka. OIeh sebab itu, suami yang baik harus memahami dan menyelami perasaan
dan emosi isterinya.
Pengetahuan mengenai sifat dan sikap wanita,
kelemahan dan kekurangan mereka perlu diketahui dengan sebaiknya bagi mewujudkan
perasaan toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Perhatikanlah
Hadith Rasulullah s.a.w. yang menganjurkan sikap yang perlu ada pada para suami
dalam menangani kekurangan dan kelemahan wanita sebagaimana sabdanya :
"Terimalah wasiat ini
yang aku wasiatkan kepada kamu iaitu berbuat baiklah kepada wanita kerana mereka
dijadikan daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok pada rusuk ialah
pada bahagian atas-Nya. Jika engkau hendak meluruskan bahagian yang bengkok itu
maka nescaya engkau akan mematahkannya, tetapi jika engkau membiarkannya, maka
ia akan sentiasa bengkok, maka berbuat baiklah kepada wanita".
Tulang rusuk yang bengkok yang dinyatakan dalam
Hadith tersebut menggambarkan kekurangan wanita yang harus diterima dengan hati
yang redha. Tetapi ini tidak bermakna kaum lelaki tidak mempunyai kekurangan
atau kelemahan. Apa yang dimaksudkan daripada Hadith ini ialah suami yang baik
ialah suami yang boleh menerima kekurangan yang ada pada isterinya. Jika suami
boleh menerima kekurangan dan kelemahan isteri dan isteri boleh menerima
kekurangan suaminya, maka akan bahagialah rumahtangga tersebut. Jika seorang
suami hendakkan kesempurnaan pada isterinya maka sudah pasti dia tidak akan
menemuinya, walaupun bilangan isterinya bertambah atau silih berganti. Para
suami sama sekali tidak akan dapat menemui isteri yang mampu taat kepadanya dan
mendengar kata-katanya seratus peratus tanpa ada perasaan tidak puas hati atau
bangkangan. Namun kekurangan tersebut harus dilihat secara positif sebagaimana
Firman Allah dalam surah An-Nisa' ayat 19 :
"Dan bergaullah kamu
dengan mereka ( isteri-isteri kamu itu ) dengan cara yang baik. Kemudian jika
kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu
terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang
Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk
kamu)".
Contoh yang terdekat yang pernah berlaku
mengenai kisah seorang wanita yang melecur muka dan belakang badannya akibat
disimbah cuka getah oIeh suaminya yang berang apabila keinginannya untuk
melakukan hubungan kelamin ditolak. Sesungguhnya Islam melarang sama sekali
deraan dan siksaan kepada isteri sama ada deraan fizikal atau pun emosi.
Sebarang ketidak puasan oIeh suami terhadap isterinya tidak harus disalurkan
melalui siksaan fizikal atau emosi. Rasulullah s.a.w. pernah menasihatkan suami
yang memukul isterinya dengan sabdanya:
"Janganlah salah seorang
dari kamu dengan sengaja memukul isterinya seperti memukul hamba kerana pada
akhirnya dia akan menidurinya juga".
Hak dan tanggungjawab suami terhadap isteri
telah digariskan oIeh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith-hadithnya. Ketika
mana Rasulullah ditanya oIeh Mu'awiyah bin Haydah mengenai hak isteri yang
tertanggung ke atas suaminya. Rasulullah s.a.w. menjawab:
"Kamu memberi makan
kepadanya jika kamu makan dan mengadakan baginya pakaian jika kamu memakai
pakaian dan jangan sekali-kali memukul muka dan jangan menghina dan jangan
mengasingkan diri daripada tempat tidur isterinya untuk tujuan pengajaran
melainkan di rumah".
(Riwayat Abu Daud)
Hadith ini jelas merupakan panduan terbaik bagi
para suami dalam memimpin bahtera perkahwinan mereka. Makanan dan pakaian
merupakan tanggungjawab suami yang perlu diberikan kepada isteri. Malah dalam
satu riwayat yang lain sepotong makanan yang disuapkan ke mulut isteri turut
diberikan ganjaran pahala oIeh Allah SWT. Hadith ini turut menjelaskan mengenai
tegahan Rasulullah s.a.w. daripada memukul isterinya di bahagian muka. Ini
adalah kerana bahagian muka adalah lambang kepada kemuliaan dan kehormatan
selain daripada gambaran kecantikan seorang wanita. Larangan memukul bahagian
muka tidak terhad kepada kaum wanita sahaja tetapi turut merangkumi semua
golongan lelaki dan wanita, kanak-kanak dan orang tua.
Sikap menghina, mencerca dan mengeluarkan
perkataan keji di antara suami dan isteri serta kaum keluarga mereka adalah
ditegah dan dilarang oIeh Islam.
Rasulullah s.a.w. merupakan model terbaik bagi
para suami dalam memimpin bahtera rumahtangga. Malah Rasulullah s.a.w. sendiri
menyifatkan Baginda adalah orang yang paling baik terhadap kaum keluarganya
sebagaimana Sabdanya yang bermaksud :
"Sebaik-baik kamu ialah
orang yang baik terhadap kaum keluarganya dan aku sebaik-baik orang terhadap
keluargaku".
(Riwayat At-Tirmizi)
Malangnya amat mendukacitakan apabila ada
segelintir individu tertentu yang baik terhadap rakan-rakan dan
sahabat-handainya, tetapi zalim dan buruk akhlaknya terhadap kaum keluarganya
sendiri.
Untuk mengembalikan keharmonian dan kebahagiaan
rumahtangga, setiap pasangan mestilah bermuhasabah diri terhadap tanggungjawab
dan kewajipan masing-masing. Setiap orang dari pasangan harus berlapang dada
untuk menerima kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri mereka. Bagi suami
segala sifat buruk seperti panas baran, ego , suka mengungkit-ungkit, kaki pukul
dan seumpamanya harus dibuang dari diri mereka. Jika sifat-sifat buruk ini tidak
dibuang maka sudah tentu keharmonian rumahtangga tidak akan tercapai.
Harus diingat, kehidupan berumahtangga ibarat
kapal kecil di tengah lautan, sentiasa dilambung ombak dalam cuaca yang tidak
menentu. Dalam hal ini, suami yang diibaratkan sebagai nakhoda sepatutnyalah
yang menentukan selamat atau tidak pelayaran kapal tersebut.
Keluarga yang harmoni akan mendatangkan
keamanan kepada masyarakat, manakala masyarakat yang baik, akan mendatangkan
kemajuan kepada negara.
"Dan antara
tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya) bahawa Dia menciptakan
untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu hidup bahagia
dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang
dan kasihan belas. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang
berfikir".
(Ar-Rum: 21)
No comments:
Post a Comment